Pages

24 January 2011

Keluang Man Sepintas Lalu Sepanjang Jalan Kenangan


Watak Keluang Man ini diilhamkan oleh sekumpulan karyawan animasi pada tahun 1996 yang mengimpikan kehadiran Superhero Kebangsaan pada ketika itu. Keluang Man cuba lari dari konsep stereotaip cerita superhero sedia ada. Ia menampilkan watak hero yang bersahaja dan tidak ada 'Kuasa Hebat' melainkan panduan naluri dan kejujuran. Ia diterbitkan oleh UAS Animation Studios (M) Sdn­ Bhd.

Pengarah animasi, Encik Kamn Ismail yang sebelum itu pernah mengarah animasi Usop Sontorian berjaya menampilkan sebuah animasi yang menjadi satu fenomena dalam negara ketika itu. Encik Kamn bersama 37 orang tenaga produksi tempatan yang kurang pengalaman dan pengetahuan khusus dalam bidang animasi, berjaya menampilkan sebuah karya eksperimen yang mengagumkan.

Watak superhero yang bersahaja dan sedikit 'gila' itu tiba-tiba menjadi buah mulut masyarakat walaupun dihasilkan menggunakan aplikasi animasi yang agak ketinggalan. Namun, jalan cerita dan konsep penceritaannya yang unik, yakni mengangkat tema kehidupan pesakit mental; mampu memberi kepuasan kepada penonton serta mudah dihayati.

Tanpa disedari, siri animasi Keluang Man merupakan animasi tempatan pertama yang menggabungkan animasi 2D dengan latar belakang 3D. Kesukaran menghasilkan gerak animasi dan gerak kamera dalam animasi yang lebih menarik pada masa itu, membuatkan Encik Kamn mencuba kaedah gabungan tersebut. Walau tidak begitu kemas dan kadangkala menampakkan keganjilan dalam sesetengah babak, team produksi Keluang Man patut mendapat pujian kerana kesungguhan dan semangat bagi menghasilkan sesuatu yang di luar dugaan.

Krisis kegawatan ekonomi pada 1997-1998 memberi kesan yang agak ketara kepada seluruh warga penerbitan Keluang Man. Akhirnya, setelah lebih tiga tahun bersama masyarakat, siri Keluang Man terpaksa dihentikan dan para karyawannya berhijrah ke produksi-produksi animasi lain bagi meneruskan kesinambungan dalam kerjaya masing-masing.

Kini, Homework Studio  membawa watak superhero pujaan tersebut kembali ke persada tanah air. Walaupun Keluang Man buat masa ini didatangkan dalam bentuk majalah, yakni medium yang berlainan sedikit daripada animasi, diharapkan usaha ini mampu meredakan kerinduan yang bersarang dalam hati masyarakat selama lebih 10 tahun.

Fakta Ringkas:
  1. Konsep, tema, watak animas dan rekabentuk penerbitan animasi Keluang Man telah dihasilkan bersama oleh En Kamn Ismail, Raja Zaharuddin Shah, Azizi Amsam, Amir Hamzah Hashim, Azhar Saad & Wan Ayumi Wan Yusof.
  2. Rekaan Watak Animasi Keluang Man telah dibangun dan diperkemas oleh Raja Zaharuddin Shah Raja Chik pada Jun 1997.
  3. Siri ini secara rasmi dimulakan penerbitannya pada 1 Jun 1997 dengan karyawan asal : Kamn Ismail, Wan Ayumi, Raja Zaharuddin Shah, Amir Hamzah Hashim, Ahar Saad,  Azizi Amsam, Zawawi Zaid, Anes Wardati, Hafidz Abu Hasan, Asmawi, Nor Hairil Azwa, Karim Wahab, Asro Zainudin, Norhazana, Arifin Sharif, Azman Wahab dan dibantu oleh Siti Zaharah serta Makcik Ramlah.
  4. Sebelum memulakan penerbitan, satu kajian telah dilakukan berkaitan dengan suasana kehidupan dan perwatakan 'Tetamu' di Taman Bahagia-Tampoi. Ini berkaitan dengan penampilan watak utama siri ini yang ditampilkan sebagai pesakit mental yang berbudi mulia.
  5. Olahan cerita dan 13 sinopsis awal siri ini dihasilkan dalam masa 1 minggu oleh Kamn Ismail dan dibantu oleh Wan Ayumi Wan Yusof.
  6. Storyboard pertama dihasilkan oleh Raja Zaharuddin Shah.
  7. Episod pertama 'Pengenalan Keluang Man' berjaya dihasilkan dalam tempoh 2 bulan.
  8. Lagu tema KELUANG MAN telah dicipta oleh Syed Imanzali. Beliau sebelum itu pernah mencipta lagu popular, Permaidani dendangan Aris Ariwatan. Lirik lagu Keluang Man pula telah ditulis oleh M. Adzlan Sulong (Nayan).
  9. Lagu Keluang Man telah dinyanyikan oleh Krisya dan telah dirakam pada September 1997.
  10. Antara penyumbang suara terawal  bagi siri animasi ini adalah:
  • Akib Junid sebagai Borhan/ Keluang Man
  • Azhar Saad sebagai Samad / Tiong Man
  • Wan Ayumi sebagai Kathy Ismai (wartawan)
  • Asmawi sebagai Inspektor Shahab
  • Hafidz sebagai Dr. Ramoo
  • Karim Wahab sebagai Zairi (jurugambar)
  • Adik Nazirah Kamarudin sebagai Mei Mei
  • Azman Wahab sebagai watak-watak lain.

17 January 2011

Majalah Komik Keluang Man

Majalah Komik Keluang Man telah berada di pasaran. Dapatkan di kedai-kedai mamak yang menjual majalah.


Juga dapatkan buku Mari Mewarna untuk anak-anak saudara anda.

16 January 2011

Keluang Man OST

Tajuk: Keluang Man
Lagu: Syed Imanzali
Lirik: M. Adzlan Sulong (Nayan)
Artis: Krisya



Dia
Bagai seorang pahlawan
Menjadi pembela
Pada yang tiada upaya
Dengan ketangkasan
Langkah pergerakannya
Menewaskan musuh
Yang membuat angkara

Dialah satria
Biar pun dimana jua
Dia datang dikala malam tiba
Melakukan tugas mulia
Di desa juga di kota
Dia akan memberikan baktinya
Demi hidup aman sejahtera

Keluang Man
Keluang Man
Keluang Man

15 January 2011

Keluang Man Maskot Tahun Kelawar 2011-2012

15 Januari, 2011 20:05 PM | bernama.com

KUALA LUMPUR, 15 Jan (Bernama) -- Keluang Man, watak superhero animasi kartun tempatan yang berdasarkan kelawar buah, dipilih menjadi maskot dan rakan promosi Tahun Kelawar 2011-2012 di negara ini.

Pengarah Zoo Negara Dr Muhammad Ngah berkata langkah itu adalah untuk menarik minat kanak-kanak untuk mengenali lebih dekat 1,100 jenis kelawar yang wujud di seluruh dunia dan usaha yang dijalankan untuk melindungi mamalia itu.

Dengan wujudnya kesedaran sedemikian, akan menggalakkan kanak-kanak untuk melawat Zoo Negara bagi mengenali kelawar dengan lebih dekat lagi, katanya semasa merasmikan sambutan Tahun Kelawar 2011-2012 di Zoo Negara ini.

Beliau juga berkata pengunaan Keluang Man itu dijayakan bersama Persatuan Animasi Malaysia (Animasi).

Dr Muhammad, yang juga Stiausaha Persatuan Zoo Asia Tenggara (SEAZA) berkata usaha mewujudkan kesedaran masyarakat mengenai kelawar adalah penting kerana mamalia itu banyak menyumbang jasa kepada persekitaran global contohnya daripada segi kawalan serangga dan penyebaran biji benih.

Penyelidikan telah mendapati bahawa kelawar memakan sekurang-kurangnya 10,000 kg serangga dalam satu malam dan membantu penyebaran 134 benih pokok, katanya.

Beliau berkata kelawar merupakan satu-satunya mamalia yang boleh terbang dan dipercayai terdapat 1,100 spesies di seluruh dunia dan sebanyak 118 spesies daripadanya telah dijumpai di Malaysia.

Dr Muhammad berkata separuh daripada 1,100 spesis itu kini terancam dan daripada 118 spesies kelawar tempatan, sebanyak 34 spesies dikenal pasti terancam.

Beliau berkata tahun ini dan 2012 telah dinamakan sebagai tahun kelawar oleh Konvensyen Persatuan Bangsa-bangsa Bersatu tentang spesies yang berhijrah (CMS) dan Perjanjian Kesepakatan mengenai pemulihan populasi Kelawar Eropah (EUROBATS) serta Persatuan Zoo dan Akuarium Sedunia (WAZA).

Beliau berkata di Malaysia, kumpulan terbesar spesies kelawar megabats, iaitu yang memakan buah-buahan telah ditemui di Hutan Simpan Krau, Pahang yang meliputi kawasan seluas 3km persegi.

-- BERNAMA